Teleport dan GTR perkukuh toleransi sifar terhadap rasuah dalam industri logistik udara
Teleport dan GTR terus memperkukuh komitmen kepada nilai ketelusan dan integriti di Program Anti-Rasuah
Caption: (Dari kiri) Pete Chareonwongsak, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport; SAC Tuan Westmoreland Anak Ajom, MACC dan Musdalifa Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Ground Team Red di majlis lafaz ikrar bebas rasuah
SEPANG, 13 OKTOBER 2025 – Teleport, syarikat logistik di bawah Capital A Berhad, dan Ground Team Red (GTR) penyedia perkhidmatan pengendalian darat AirAsia, berikrar untuk menegakkan integriti dan menolak semua bentuk rasuah dalam operasi logistik udara mereka. Komitmen ini diberikan di Program Kesedaran Anti-Rasuah dan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.
Program dimulakan dengan taklimat anti-rasuah yang disampaikan oleh SAC Tuan Westmoreland Anak Ajom, “Program ini penting untuk mendidik individu dan organisasi tentang bahaya rasuah, sambil memupuk nilai integriti, tingkah laku beretika dan menekankan peranan penting kerjasama antara agensi dalam memerangi rasuah. Program ini juga merangkumi pemahaman menyeluruh tentang rasuah, bermula daripada pengenalan kepada bentuk dan tanda amaran rasuah, undang-undang tempatan dan antarabangsa, liabiliti korporat dan polisi dalaman, mekanisme pelaporan rasuah dan perlindungan kepada pemberi maklumat.”
Program diteruskan dengan sesi dialog yang disertai oleh pegawai SPRM SAC Tuan Westmoreland Anak Ajom, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport Pete Chareonwongsak, dan Ketua Pegawai Eksekutif GTR Musdalifa bin Abdullah. Menurut Tuan Westmoreland, sesi dialog itu penting kerana ia “membantu individu untuk lebih memahami cara mengurus risiko, menerapkan integriti, serta mencegah rasuah demi memastikan pematuhan sepenuhnya.”
“Di Teleport, integriti adalah teras kepada setiap keputusan yang diambil, walaupun ketika tiada sesiapa yang memerhati. Kami tidak berkompromi dalam soal ketelusan, integriti, dan akauntabiliti dalam usaha untuk beroperasi dengan lebih pantas, lebih murah, dan lebih baik. Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) tiga tahun Teleport yang selari dengan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) memastikan yang nilai-nilai ini diterapkan di seluruh operasi serantau. Komitmen ini dipegang oleh semua kakitangan, dan kami memastikan 100% daripada mereka mencapai pengesahan anti-rasuah setiap tahun. Usaha ini diperkuat dengan initiatif serantau berterusan untuk memperkukuh budaya integriti kami,” kata Pete Chareonwongsak, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport.
“Integriti adalah asas untuk keselamatan dan kepercayaan dalam bidang kerja kami. Di GTR, kami mengendalikan ribuan pergerakan darat setiap hari, dan setiap pergerakan dijalankan dengan akauntabiliti. Komitmen kami bukan sekadar untuk mematuhi peraturan – tetapi untuk membina budaya di mana melakukan perkara yang betul menjadi amalan biasa bagi setiap kakitangan. Disokong oleh rangka kerja tadbir urus yang kukuh dari AirAsia Berhad dan SATS, kami terus memperkukuh kawalan dalaman, meningkatkan kesedaran, dan menambah baik mekanisme pelaporan untuk memastikan integriti diamalkan di semua stesen kami di seluruh negara,” kata Musdalifa bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Ground Team Red (GTR).
Majlis diakhiri dengan sesi menandatangani Ikrar Bebas Rasuah oleh kedua-dua Ketua Pegawai Eksekutif, yang disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan SPRM dan barisan kepimpinan kedua-dua organisasi. Ikrar ini memperkukuh komitmen Teleport dan GTR untuk menyumbang kepada ekosistem bebas rasuah, yang penting untuk pergerakan barangan yang selamat dan terjamin, sekaligus menyokong pertumbuhan sektor perdagangan dan e-dagang negara.